Moh Sukses SPM tumpu mata pelajaran kritikal, diperluas ke Hulu Perak

Berita Perak

LENGGONG: Program tuisyen ‘Moh Sukses SPM’ yang diperkenal sejak tahun 2020 ketika pandemik COVID-19, akan diperluas di daerah Hulu Perak.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, program yang memasuki tahun kelima itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN Kota Tampan dengan kerjasama Pertubuhan Aspirasi dan Pembangunan Integrasi Kebangsaan (Nadi) Perak.

“Program ini berjaya dikembangkan ke seluruh kawasan Parlimen Lenggong dengan penambahan penyertaan empat sekolah lagi dari DUN Kenering.

“Iaitu SMK Sultan Idris Shah II, SMK Gerik, SMK Kenering dan SMK Budiman yang melibatkan 650 pelajar SPM Tahun 2024.

“Moh Sukses SPM yang berbentuk tutorial dan bengkel dapat memberi bimbingan sewajarnya dalam membuat persediaan bagi menghadapi SPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika penutupan rasmi program Moh Sukses SPM 5.0 Tahun 2024 di SMK Dato’ Ahmad, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Nadi Perak, Dr. S. Shanmuga Velu, para guru dan pelajar yang terbabit dalam tuisyen tersebut.

Dalam pada itu, Saarani turut merakam penghargaan kepada Kolej Komuniti Gerik, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Universiti Sultan Azlan Shah dan ILP Jelapang yang berkerjasama dengan penganjur demi kepentingan pelajar SPM di kawasan itu.

Selain itu, dalam program itu turut berlangsung pelancaran Buku Sejarah Lisan Lenggong.

“Pelancaran Buku Sejarah Lisan Lenggong ini merupakan inisiatif Dr. Shanmuga bersama-sama pensyarah dan siswa guru IPGM Kampus Ipoh.

“Ia merupakan pengisian yang amat bermakna. Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang menjadikannya satu kenyataan,” katanya lagi.

Sementara itu, Shanmuga berkata, penambahan jumlah pelajar menerusi program itu adalah disebabkan kejayaan yang dilakar sebelumnya.

“Ia membantu pelajar mendapat keputusan pelajar cemerlang dalam SPM, ia akan dikembangkan ke daerah Hulu Perak memandangkan permintaan yang tinggi dari sekolah.

“Penambahan itu sebanyak tujuh buah sekolah pada tahun depan yang menumpukan tuiysen dalam mata pelajaran kritikal dengan bimbingan dari guru pakar serta cemerlang,” katanya.

Bagi tahun ini, program itu berlangsung sejak Jun sehingga November, iaitu selama enam bulan secara bersemuka.