MIDF sumbang mesin dialisis, manfaat 100 pesakit setahun

Berita Perak

PULAU PANGKOR: Malaysia Industrial Development Finance Berhad (MIDF), ahli Kumpulan MBSB, telah menyerahkan sebuah mesin dialisis bernilai kira-kira RM45,000 kepada Klinik Kesihatan Pangkor pada Sabtu.

Sumbangan merupakan sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.

Menurut kenyataan MIDF, mesin itu dijangka dapat memberi manfaat kepada kira-kira 100 pesakit setiap
tahun secara purata.

Majlis penyerahan yang diadakan hari ini menggambarkan keprihatinan MIDF terhadap keperluan kesihatan penduduk Pulau Pangkor.

Mesin dialisis itu bertujuan memberikan kemudahan rawatan kepada pesakit buah pinggang kronik, sekali gus mengurangkan kebergantungan mereka terhadap rawatan di luar pulau.

Pengerusi MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat, Pengerusi MIDF, berharap agar mesin dialisis itu dapat memudahkan pesakit yang memerlukan rawatan berkala untuk mendapatkan perkhidmatan dengan lebih mudah dan selesa tanpa perlu melakukan perjalanan jauh.

“Ini tidak hanya memberikan keselesaan kepada pesakit, tetapi juga mengurangkan beban keluarga mereka dan tekanan terhadap sistem kesihatan sedia ada.

“Kami berasa amat berbesar hati dapat menyumbangkan mesin ini sebagai salah satu usaha kami dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat.

“Dengan adanya kemudahan ini, pesakit tidak perlu lagi berulang-alik ke tanah besar untuk mendapatkan rawatan, sekali gus mengurangkan kesulitan yang mereka hadapi,” katanya ketika berucap di majlis itu.

MIDF turut menyatakan komitmen mereka untuk terus menyokong usaha-usaha kebajikan yang
memberi impak positif kepada masyarakat.

Mereka juga berharap agar inisiatif ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat setempat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.

Dalam majlis yang sama, penghargaan turut diberikan kepada Koperasi Pangkor Berhad yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif ini.

Kerjasama erat antara MIDF dan Koperasi Pangkor membuktikan bahawa usaha bersama mampu membawa manfaat yang besar kepada komuniti setempat.

“Dengan adanya sumbangan ini, diharapkan pesakit di Pulau Pangkor akan memperoleh rawatan
yang lebih mudah dan berkesan, serta dapat menjalani kehidupan dengan lebih berkualiti,” kata kenyataan itu.

MIDF akan terus berusaha untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui pelbagai inisiatif yang bermakna.