IPOH: Sebanyak 1,800 bekas bubur lambuk termasuk bubur anak lebah telah diedarkan kepada warga Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sempena Program Bubur Lambuk MBI 2025 hari ini.
Majlis penyerahan bubur lambuk disempurrnakan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Turut hadir Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abdul Rahman, Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak, Ahli-ahli Majlis, Pengarah-Pengarah Kanan dan Ketua-Ketua Jabatan MBI.
Menurut kenyataan MBI, sebanyak empat sektor terlibat, iaitu sektor Pentadbiran dan Operasi, sektor Perkhidmatan, sektor Kewangan dan sektor Teknikal.
“Program Bubur Lambuk MBI 2025 dianjurkan bagi mengeratkan hubungan silaturrahim selain menjadi tradisi ketika bulan Ramadan,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, bagi memeriahkan lagi program, turut diadakan pertandingan hiasan khemah.
Dalam pertandingan itu, tempat pertama dimenangi sektor Pentadbiran dan Operasi, sekaligus membawa pulang wang tunai sebanyak RM500, kedua sektor Perkhidmatan (RM400) dan berkongsi tempat ketiga sektor Kewangan dan Teknikal dengan membawa pulang sebanyak RM300.
MBI berharap program itu dapat dikekalkan dan dijalankan dengan lebih cemerlang bagi mengukuhkan lagi hubungan antara sektor di MBI.






