MBI akui kawasan kilang di Silibin banyak anjing berkeliaran

Berita Perak

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengakui kawasan kilang di Silibin, lokasi wanita warga emas meninggal dunia selepas terjatuh motosikal dipercayai dikejar anjing, mempunyai banyak anjing yang berkeliaran.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya percaya anjing-anjing itu dibuang di kawasan berkenaan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, pihak MBI telah melakukan operasi untuk menangkap anjing-anjing berkenaan bagi mengurangkan bilangannya.

“Setakat ni kita berjaya tangkap dua ekor dan kita simpan dulu kerana kita nak tengok siapa yang tuntut.

“Sekiranya tiada tuntutan kita akan bincang dengan Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut tetapi biasanya kes-kes macam ini kita akan musnah lah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Jasamu Dikenang di Casuarina @ Meru di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan wanita warga emas yang meninggal dunia akibat terjatuh motosikal selepas menghantar cucunya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Silibin, di sini, awal pagi Isnin, dipercayai cuba mengelak anjing yang berkeliaran.

Dalam kejadian di Jalan Pusat Perniagaan Silibin 1, kira-kira jam 7.15 itu, Rohani Nek, 69, meninggal dunia dilokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Rumaizi mengakui pihaknya menghadapi kesukaran untuk mengatasi masalah anjing terbiar, walaupun ia telah berlarutan sejak sekian lama.

“Dalam masalah anjing ini sentiasa ada pro and cons, ada pihak yang mendesak supaya kita ambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas dan di satu pihak pula mahu kita tangguh dulu melindunginya atas pelbagai alasan.

“Jadi itu yang menyebabkan kadang-kadang tindakan itu dia macam jalan tak jalan macam sebab kita terpaksa memenuhi kehendak dua-dua pihak itu,” jelasnya.

Bagaimanapun, ujarnya, MBI akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat.