Mayat lelaki bogel dijumpai dengan kesan tikaman

Berita Perak

IPOH: Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemukan dalam keadaan bogel di hadapan sebuah kilang di Laluan Perusahaan Klebang 1, di sini hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, maklumat itu diperoleh dari orang awam pada jam 12.20 tengah malam.

Maklumat itu mendakwa telah berlaku pergaduhan sehingga menyebabkan kematian.

“Sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian dan menemukan mangsa terbaring di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai dan pemeriksaan lanjut ke atas badan lelaki itu telah menjumpai kesan luka pada bahagian dada, telinga dan kaki.

“Mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) disahkan meninggal dunia akibat kesan tikaman oleh pegawai perubatan,” katanya pada Isnin.

Menurut beliau, usaha dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat dan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, orang yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

Orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Norshaharah Marzuki di talian 010-3790508, atau hadir ke balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten
Komisioner Abang Zainal Abidin
Abang Ahmad