Maritim Perak selamatkan tiga remaja hanyut di laut

Berita Perak

LUMUT: Tiga remaja yang dilaporkan hanyut ketika menaiki bot sampan di perairan Pasir Panjang, di sini berjaya diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak dalam satu operasi mencari dan menyelamat baru-baru ini.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Perak telah menerima maklumat kecemasan melalui panggilan talian kecemasan 999 pada jam 6.57 petang.

Katanya, bot Perkasa 1223 diatur gerakkan ke lokasi kejadian yang dianggarkan kira-kira 3.2 batu nautika tenggara Pulau Katak.

“Keadaan cuaca semasa operasi dilaporkan kurang baik dengan angin barat laut berkelajuan antara 30 hingga 40 kilometer sejam.

“Ketinggian ombak mencecah 1.5 hingga 2.5 meter serta ribut petir di beberapa kawasan, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan di laut,” katanya.

Bot Perkasa 1223 dilaporkan tiba di lokasi pada pukul 8.25 malam dan berjaya menemukan ketiga-tiga mangsa dalam keadaan selamat bersama bot sampan mereka.

Kesemua mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Marina Island, Lumut sebelum diserahkan kepada waris masing-masing pada 10.10 malam.

“Difahamkan ketiga-tiga mangsa berlegar di dalam sungai berdekatan, menghabiskan masa sebelum menunggu waktu berbuka puasa.

“Namun tidak perasan perubahan cuaca dan angin kuat, menyebabkan tali tambatan putus. Mangsa bersama bot hanyut ke laut,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan keluarga yang tinggal berhampiran kawasan perairan agar sentiasa memantau serta peka terhadap pergerakan anak-anak.

Khususnya golongan remaja, supaya tidak keluar ke laut tanpa pengawasan dan langkah keselamatan yang sewajarnya.