Maritim Kuala Kurau rampas 1,393 unit bubu naga tahun ini

Berita Perak

KUALA KURAU: Sebanyak 1,393 unit bubu naga telah berjaya dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kurau sepanjang tahun ini.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Najhan Azman Hamid, selain itu pihaknya berjaya merampas 49 unit bubu naga sempena Operasi Sayong1/2018 di kedudukan 1.03 batu nautika barat Pulau Pasir Hitam, semalam.

“Dengan jumlah rampasan 49 unit bubu naga ini, Zon Maritim Kuala Kurau telah mencatatkan jumlah rampasan terkini mencecah sebanyak 1,393 unit bubu naga pada tahun ini.

“Hasil rampasan 49 unit bubu naga yang dianggarkan sebanyak RM5,880 dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk tindakan lanjut.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa dibawah seksyen 11(3)( c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan mengunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, Maritim Malaysia menegaskan supaya komuniti maritim perlu sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau 05- 7279919 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.