Manfaat tanah penduduk tanam sayur, perluas projek di Kuala Kangsar

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Bukan sahaja mahu meringankan beban masyarakat setempat, tetapi turut memanfaatkan tanah terbiar milik penduduk.

Pendekatan serampang dua mata Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu berjaya dibuktikan menerusi projek rintis yang dilaksana sejak awal tahun di Kampung Bendang Kering.

Menurut Ahli Parlimennya, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, sayur-sayuran seperti sawi dan pak choy sudah berjaya dituai buat kali pertama.

“Ini adalah satu inisiatif daripada Parlimen saya di mana tanah yang terbiar kita akan pastikan diadakan penanaman sayur dan dengan hasilnya kita beri pada orang kampung.

“Maklumlah dengan keadaan ekonomi yang semakin rumit ini, banyak orang di kampung-kampung ini susah terutama di kawasan saya ini,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Terdahulu beliau menyampaikan sekampit beras 5kg dan sayur kepada 300 penerima melibatkan lima kampung sempena Majlis Penyerahan Beras dan Sayur di Rumah Sayur Bendang Kering di sini.

Katanya, kesemua sayur yang dituai itu diedarkan secara percuma kepada penduduk berhampiran.

Tambahnya, bagi projek rintis tersebut, peruntukan sebanyak RM40,000 disediakan bagi menjayakan projek tanaman itu.

Jelasnya lagi, projek itu akan diteruskan di kawasan lain di Parlimen Kuala Kangsar jika terdapat tanah terbiar yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan ketua kampung dan penghulu untuk memperluas projek berkenaan.