Malam Media MBI 2024 perkenal lapan anugerah

Berita Perak

IPOH: Buat julung-julung kalinya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memperkenalkan lapan anugerah untuk Malam Media MBI 2024 yang dijadualkan Ogos ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, lapan anugerah itu ialah Laporan Berita TV Terbaik; Laporan Khas TV Terbaik; Laporan Berita Terbaik; Rencana Terbaik; Jurufoto Terbaik; Juruvideo Terbaik; Wartawan Terbaik dan Anugerah Khas.

Menurutnya, program itu adalah anjuran bersama MBI bersama sebuah syarikat swasta, Puncak Emas Infra Sdn Bhd.

“Penyertaan akan mula dibuka dari 1 hingga 31 Julai ini dan ia berkisar kepada laporan, berita atau rencana mengenai MBI dan Bandaraya Ipoh dari tahun 2023 sehingga kini,” katanya ketika berucap di Majlis Mesra Datuk Bandar Ipoh bersama Ketua Biro Media di Hotel M Roof di sini, hari ini.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Puncak Emas Infra Sdn. Bhd yang telah bersama MBI dalam penganjuran majlis itu bagi menghargai peranan media di Bandaraya Ipoh khususnya dan Perak amnya.

“Saya berharap lebih banyak lagi syarikat seperti Puncak Emas Infra Sdn Bhd dalam menjalankan program yang memberi manfaat kepada rakan media massa,” ujarnya.

Beliau berharap majlis itu akan menjadi platform untuk memupuk kerjasama yang lebih erat dengan rakan media untuk kepentingan wargakota secara menyeluruh.

“Ia amat penting dalam mempertingkatkan persefahaman yang baik antara kita,” tambahnya.

Pada majlis itu, Rumaizi turut menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik MBI yang banyak membantu dalam pelaksanaan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya Program MBI Prihatin.