MAIPk terima zakat perniagaan lebih RM9 juta

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM9,267,411.61 dalam majlis penyerahan zakat perniagaan enam buah syarikat korporat di Istana Iskandariah, di sini, pada Sabtu.

Pegawai Yang Menjalankan Tugas Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Wan Maizura Wan Zahari berkata, penyerahan didahului oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

Katanya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Roni Abdul Wahab menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM947,217.

Ia disusuli Empayar Indera Sdn. Bhd. yang diwakili Pengurus Besar Empayar Indera Sdn. Bhd., Hasrin Abdul Rahman berjumlah RM200,000.

Dalam majlis yang sama, Koperasi Guru-Guru Melayu Kerian dan Selama Berhad yang diwakili oleh Pengerusi Koperasi, Mohd Shafie Md Rejab turut menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM100,000.

Seterusnya diikuti Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad yang diwakili oleh Pengerusi Koperasi, Shamsuddin Yusof sebanyak RM248,130.13.

Turut menunaikan zakat perniagaan ialah Lembaga Tabung Haji yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman sebanyak RM7,472,064.41.

Terakhir, zakat perniagaan diserahkan PINS Network Solutions Sdn. Bhd. yang diwakili Ketua Pegawai Operasi, Adi Reza Abd Razak sebanyak RM300,000.

Sultan Nazrin kemudiannya berkenan menyerahkan zakat itu kepada Yang Dipertuw MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.