LPP sedia mohon kouta tambahan beras puteh tempatan

Berita Perak

IPOH: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan memohon kouta tambahan beras puteh tempatan (BPT) sekiranya 2,500 metrik tan sebulan yang diterima sekarang tidak mencukupi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azulita Salim bagaimanapun berkata, tambahan itu bergantung kepada permintaan pembeli.

Menurutnya, perbincangan mengenai perkara tersebut telah dibuat dengan pihak-pihak yang berkenaan.

“Sebenarnya kelebihan LPP, peladang outlet berada di merata tempat, berhampiran dengan Pertubuhan Peladang juga terdapat di bandar dan
di kawasan-kawasan luar bandar.

“Jadi sekiranya 2,500 ini tidak cukup, pihak kawal selia sememangnya tidak mempunyai masalah untuk meningkatkan atau menambah lagi kuota untuk LPP,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Peladang Outlet Pertubuhan Peladang Negeri Perak di Taman Anda, Ipoh, pada Khamis.

Pada Rabu, media melaporkan LPP menerima 2,500 tan kuota beras putih tempatan setiap bulan sehingga hujung tahun ini untuk dipasarkan, berbanding hanya 800 metrik tan sebelum ini.

Tambahan itu dilihat mampu mengatasi isu ketiadaan beras puteh tempatan di pasaran, yang berharga RM26 untuk 10 kilogram.

Menurut Azulita, LPP menerima bekalan beras dari tiga pengilang yang dihantar berdasarkan permintaan ke 103 outlet.

Beliau menambah, kebanyakan outlet itu terletak berhampiran kawasan B40 dan masyarakat peladang termasuk di kawasan bandar.