Lelaki hilang empat hari ditemukan lemas

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang sejak Jumaat lalu, ditemukan lemas di Sungai Cempias, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dikenali sebagai Nor Affendi Yusoff, 35, ditemui pasukan penyelamat kira-kira 1 kilometer (km) dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).

Katanya lagi, operasi pencarian dibuat sejak Isnin, setelah keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa.

“Keluarganya membuat laporan polis pada 23 Disember yang mengatakan mangsa hilang dan tidak pulang ke rumah sejak 20 Disember.

“Pihak polis memaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar berhubung kes ini dan operasi dimulakan di Sungai Cempias sejak semalam.

“Ia merupakan lokasi di mana mangsa dipercayai jatuh berdasarkan malumat diberikan polis,” katanya pada Selasa.

Tambahnya, mangsa dijumpai pada 1.33 tengah hari tadi, berdekatan Rumah Anak Yatim Sultan Abdul Aziz.

Sehubungan itu, anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menaikkan mangsa dan menyerahkannya kepada polis bagi tindakan lanjut.

Operasi membabitkan seramai 28 orang anggota bomba termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) itu tamat jam 2 petang.

Foto: JBPM Perak