Lebih RM230,000 bantuan baucar buku untuk mahasiswa Perak

Berita Perak

IPOH: Kerajaan Perak melancarkan bantuan baucar buku mahasiswa Perak 2024, satu lagi inisiatif kerajaan negeri bagi meringankan beban mahasiswa daripada golongan sasar untuk membeli bahan bacaan pengajian.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan melalui Jawatankuasa Pendidikan dan Pengajian Tinggi, dengan kerjasama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) juga bertujuan menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar, merancakkan industri buku tempatan dan meringankan beban kewangan ibu bapa.

Menurutnya, sebanyak RM232,500 diperuntukkan bagi menjayakan program itu dan akan disalurkan secara one-off kepada 1,550 mahasiswa yang layak, yang akan menerima baucar buku bernilai RM150setiap seorang.

“Penerima yang layak mestilah menepati kriteria yang ditetapkan di mana mestilah warganegara Malaysia kelahiran Perak yang sedang melanjutkan pengajian sepenuh masa dalam tahun pertama, mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 dan memerlukan keperluan yang mendesak,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran inisiatif itu di Bilik Gerakan Negeri di sini, hari ini.

Beliau menyeru kepada semua mahasiswa atau ibu bapa yang memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk mengambil peluang ini dan membuat permohonanmelalui laman sesawang rasmi EHEYN di https://eheyns.com.my, bermula hari ini.

Saarani berkata, kerajaan negeri
akan terus komited untuk mewujudkan lebih banyak program khusus dalam menyediakan sokongan yang diperlukan untuk memastikan anak-anak Perak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.