Lebih 600 peluang pekerjaan ditawarkan Career Fest @ PUO 2024

Berita Perak

IPOH: Lebih 600 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor terutamanya sektor kejuruteraan, teknologi maklumat dan perrdagangan ditawarkan sepanjang Program Career Fest @ Politeknik Ungku Omar (PUO) 2024 yang melibatkan 35 buah syarikat dari pelbagai industri.

Menurut kenyataan PUO, Career Fest @ PUO 2024 telah dihadiri lebih 1,000 pengunjung yang terdiri daripada para pelajar, alumni dan belia di sekitar bandaraya Ipoh.

Katanya, mereka berpeluang mengenali syarikat dan bakal majikan di samping menjalani sesi temuduga terbuka bagi mengisi kekosongan jawatan di industri.

“PUO mendapat kerjasama dari Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar PUO dan pencari kerja menerusi program ini.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia turut hadir berkongsi informasi tentang kerjaya serta pihak UniKL memberikan maklumat berkenaan peluang pelajar melanjutkan pelajaran setelah tamat pengajian,” kata kenyataan itu hari ini.

Tambahnya, Career Fest @ PUO 2024 memberi manfaat yang besar kepada para pelajar dan pencari kerja yang akhirnya diharap dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan melalui peningkatan kebolehpasaran dan pembinaan modal insan yang berkualiti.

Di samping itu, katanya, pihak industri turut berpeluang mengenal pasti calon yang berpotensi untuk ditawarkan pekerjaan melalui program ini dan seterusnya mengukuhkan jaringan kerjasama positif antara rakan industri dan PUO.

Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr. Shamsuri Abdullah turut hadir ke program itu.