Lebih 550 mangsa banjir di Sungai Siput dipindahkan, disifatkan lebih buruk daripada 2014

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: Hujan lebat berterusan hampir 12 jam sejak 6.30 petang Sabtu menyebabkan beberapa kampung di Sungai Siput, Perak dinaiki air sehingga lebih satu meter.

Sehingga jam 4 petang Ahad, dianggarkan lebih 550 orang daripada lebih 200 keluarga telah dipindahkan ke empat buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Lintang, Sekolah Kebangsaan Lasah, Dewan Pandak Hamid Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong dan Sekolah Menengah Kebangsaan RLKT Lasah.

Ahli Dewan Undangan Negeri Lintang yang juga Exco Perak, berkata, setakat ini jumlah sebenar mangsa yang terlibat belum dapat dipastikan kerana terdapat kawasan seperti di perkampungan Orang Asli yang terputus hubungan.

“Banjir kali ini lebih besar daripada banjir 2014…dan banjir berlaku berlaku bermula pada jam 6 pagi, yang melibatkan 80 keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS), pada mulanya di Dewan Orang Ramai Lintang.

“Tetapi oleh kerana jalan di hadapan Dewan Orang Ramai Lintang telah dinaiki air dan tak boleh dilalui oleh kenderaan, maka 80 keluarga ni telah dipindahkan ke Dewan Kampung Baru Lintang kerana kedudukan kawasannya agak tinggi bersesuaian,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan terlibat hari ini.

Menurutnya, beliau dimaklumkan setakat jam 4 petang, di Kampung Lasah terdapat seramai 52 rumah terjejas melibatkan 120 orang, Kampung Tok Sirat 15 buah rumah dengan 50 orang dan Kampung Makmur 33 buah rumah dengan 120 orang.

Di samping itu, katanya, tersapat dua buah kampung Orang Asli iaitu di Kampung Chenien melibatkan 10 buah rumah serta Kampung Jong 18 rumah.

Bagaimanapun, katanya, jalan ke perkampungan Orang Asli itu terputus kerana dinaiki air dan usaha sedang dilakukan untuk menyalurkan bantuan ke kampung-kampung tersebut.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui berkata, air yang naik mendadak menyebabkan mereka hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting sahaja.

Penoreh getah, Jasni Ahmad, 53 berkata, dia tinggal di Kampung Lintang sejak kecil dan kali kedua terlibat banjir besar selepas 2014z

“Banjir tu biasalah tapi tak adalah tinggi macam ni. Saya sedar masa bangun pagi, air dah masuk dalam rumah, apa barang pun tak dapat selamat dah, yang sempat pun dokumen-dokumen aje,” katanya.

Surirumah, Khadijah Azna Ahmad, 41, pula berkata, dia telah menetap di kampung itu sejak lebih 21 tahun lalu.

“Ini kali kedua saya alami banjir besar, pertama pada 2014 tetapi rasanya kali ini lebih besar lagi.

“Air mula naik dalam pukul 6 dan dalam pukul 11 lebih saya berpindah ke pusat pemindahan apabila air naik ke paras pinggang.

“Barang-barang yang sempat selamat dokumen peribadi ajelah, yang penting-penting aje, yang lain barang rumah semua tak dapat, barang-barang letrik apa semua tak dapat diselamatkan,” ujarnya.

Penduduk berharap sungai berhampiran kampung mereka dapat dikorek semula untuk mendalamkannya di samping dibuat kerja-kerja pembersihan.

Sementara itu, berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, setakat jam 6 petang, hanya mangsa di PPS SK Lasah sahaja disahkan iaitu 96 orang daripada 34 keluarga.

Mangsa di tiga lagi PPS di Sungai Siput iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Lintang, Dewan Pandak Hamid Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong dan Sekolah Menengah Kebangsaan RLKT Lasah masih dalam proses pendaftaran.