IPOH: Delegasi media Perak yang diketuai oleh Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Hesham Syed Idris telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah, hari ini.
Kunjungan hormat berlangsung di Bilik Anggerik, Tingkat 10, Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang antara lain bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama serta mempererat jaringan komunikasi strategik antara pihak media dan pihak berkuasa tempatan.



Sesi kunjungan itu turut dihadiri oleh Ketua-Ketua Biro Media serta Ketua-Ketua Jabatan MBI.
Perbincangan yang berlangsung dalam suasana mesra, terbuka dan konstruktif itu telah membuka ruang interaksi dua hala yang lebih berkesan antara pengamal media dan pengurusan tertinggi MBI.
Kunjungan hormat itu bukan sahaja mengeratkan hubungan baik dan strategik antara MBI dan media, malah menjadi platform penting kepada pengamal media untuk berinteraksi secara langsung dengan Datuk Bandar Ipoh bagi mendapatkan maklumat serta pandangan berkaitan hala tuju pembangunan dan pentadbiran bandar raya Ipoh.



MBI dalam kenyataannya amat menghargai peranan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat yang tepat, telus dan berintegriti kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi mewujudkan bandar raya yang sejahtera, berdaya huni dan mampan.





