KPJ Ipoh sertai program penanaman pokok

Berita Perak

IPOH: Hospital Pakar KPJ Ipoh dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah menanam sebanyak 173 jenis pokok dalam usaha penghijauan alam menerusi kempen penanaman 100 juta pokok yang dilancarkan oleh kerajaan Malaysia sejak 2021.

Projek berskala besar itu yang julung kali diadakan oleh KPJ Ipoh telah berlangsung di Hutan Simpan Bukit Kinta (laluan Simpang Pulai – Cameron Highlands), bertujuan untuk bersama-sama memelihara bumi daripada terus mengalami perubahan iklim yang tidak menentu di samping mewujudkan kesedaran dalam kalangan warga kerja malahan juga rakyat Malaysia untuk turut sama memelihara alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah (Utara dan Pantai Timur) KPJ Healthcare Berhad, Zabidi Abdul Razak, berkata tanggungjawab penghijauan dan pemeliharaan alam sekitar bukan sahaja terletak di bahu pihak berkuasa malah menjadi kewajipan semua untuk turut serta melaksanakannya.

“Sebagai salah satu barisan hadapan dalam bidang kesihatan, kita tidak terkecuali untuk menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar.

“Malah, KPJ Ipoh telah mula aktif dalam usaha penghijauan alam menerusi program ‘no plastic campaign’ penanaman sayur-sayuran di sekitar KPJ Ipoh, kempen pengumpulan barang terpakai serta projek pengumpulan minyak masak terpakai,” katanya.

Beliau juga turut menekankan tentang isu ‘biopiracy’ yang kini hangat diperkatakan dan menyeru semua warga kerja dan masyarakat untuk sama-sama memelihara khazanah alam semulajadi Malaysia agar harta bernilai ini dijaga dengan baik.

Zabidi turut meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak atas usaha mereka sebagai barisan hadapan dalam mengekalkan kelestarian alam dan memastikan alam sekitar kita sentiasa terpelihara.

Turut hadir di dalam majlis itu ialah Pegawai Hutan Daerah Kinta/Manjung, Azqan Dalila Ahmad Tajudin dan Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Ipoh, Badrul Hisyam Ibrahim.