KPDN serbu peniaga jual minyak masak peket kepada orang tertentu

Berita Perak

LARUT: Kegiatan peniaga yang hanya menjual minyak masak peket 1 kilogram (kg) bersubsidi kepada orang tertentu di sebuah premis dekat Batu Kurau di sini akhirnya terbongkar menerusi Ops Tiris 3.0.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, operasi pada Rabu itu adalah hasil maklumat serta aduan orang awam.

Katanya, tindakan peniaga berkenaan mengundang rasa tidak puas hati orang ramai.

“Berdasarkan maklumat tersebut, satu tindakan uji beli dilaksana dan mendapati pekerja premis memaklumkan minyak masak peket telah habis dijual.

“Curiga dengan jawapan itu,pegawai serta penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Taiping melakukan pemeriksaan lanjut dan menemui sebanyak 140 kg minyak masak peket 1 kg yang disimpan di stor simpanan barang.

“Sehubungan itu, kesemua 140 kg minyak masak peket 1 kg tersebut berserta beberapa dokumen berkaitan disita.

“Ini kerana disyaki secara palsu menafikan bahawa dia mempunyai barang kawalan berjadual iaitu minyak masak peket 1 kg dalam milikannya,” katanya pada Khamis.

Beliau menambah, semua barang rampasan itu dianggarkan berjumlah RM350.

Justeru katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.