Kolaborasi TIC bersama empat universiti, lahir perintis guru muda

Berita Perak

IPOH – TAJ International College (TIC) meneruskan kesinambungannya dalam mengangkat kepentingan ilmu dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama empat universiti awam.

Ia sebagai usaha melahirkan generasi baharu pendidik menerusi Program Perintis Guru Muda Next Gen.

Menurut Pengerusi Eksekutif TIC, Tina Tajuddin, kerjasama itu menjadi landasan penting kepada reformasi pendidikan yang lebih mampan dan inklusif, seiring aspirasi negara dalam memperkasa profesion perguruan.

Katanya, kerjasama itu dimeterai menerusi penyerahan Surat Kerjasama (LOC) bersama Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Program Guru Muda Next Gen ini bertujuan melatih generasi pendidik yang lebih bersedia, progresif dan adaptif terhadap perubahan sistem pendidikan masa depan, khususnya dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan digital,” katanya kepada pemberita di sini.

Penyerahan LOC berlangsung sempena Hari Terbuka TIC 2025 dan pra pelancaran School of Education (SOE) yang disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai.

Tina berkata, TIC kini menawarkan dua program utama pendidikan iaitu Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Diploma Tahfiz dan Pengajian Islam (Tasleem) yang menjadi asas kepada penglibatan pelajar dalam program perantis guru muda.

Katanya, pelajar-pelajar diploma ini akan mendapat bimbingan, modul tambahan dan tunjuk ajar terus daripada pensyarah universiti awam, selain pendedahan awal untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.

“Walaupun lulusan diploma belum layak menjadi guru sepenuhnya, kita sediakan laluan ke universiti melalui bimbingan dan sokongan universiti ini agar impian mereka untuk menjadi guru tercapai,” katanya.

Tambahnya, program itu turut menggunakan pendekatan Work-Based Learning (WBL) yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) membolehkan pelajar menjalani latihan mengajar di sekolah lebih awal berbanding kaedah praktikal tradisional.

“Kita tidak mahu latihan praktikal hanya di hujung pengajian. Melalui kerjasama universiti awam ini, pelajar akan mula menyelami dunia pendidikan sebenar sejak awal, supaya roh perguruan itu dapat dipupuk dari awal,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Tina, TIC turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk biasiswa penuh, separa dan dermasiswa melalui dana dalaman serta yayasan terpilih.