IPOH: Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria mencadangkan agar padi yang dihasilkan oleh pesawah di negeri itu tidak dibawa keluar ke negeri-negeri lain.
Sebaliknya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Semanggol itu, padi tersebut hendaklah diproses di kilang-kilang yang terdapat di negeri Perak.
Menurutnya, tindakan membawa keluar padi menyebabkan beberapa kilang padi di Perak terpaksa menutup operasi kerana kekurangan kapasiti.
“Itu kita dapat sendiri daripada pengerusi kilang padi sendiri yang maklumkan sendiri kepada Pak Teh di mana Kerian sendiri ada enam buah kilang padi, tiga sudah tutup tidak boleh beroperasi disebabkan oleh kapasiti pada itu tidak cukup untuk dia beroperasi, break even.
“Jadi untuk padi beroperasi dalam negeri Perak ia memerlukan 90 metrik tan baru semua kilang boleh beroperasi,” katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas membahaskan titah perasmian Dewan Negeri Perak Kelima Belas oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan pengiraan sasaran kadar sara diri (SSR) Perak telah mencapai tahap pengeluaran 98 peratus.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan mengapa masih berlaku ketiadaan beras tempatan di Perak.
Dalam perkembangan lain, Razman turut mencadangkan agar kenaikan kadar tarif air di Perak dibincangkan terlebih dahulu supaya tidak membebankan rakyat.
Beliau turut mencadangkan agar hasil perolehan daripada sumber mineral baru iaitu unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dapat digunakan untuk membantu kenaikan tarif air di negeri ini.