Kerajaan umum bantuan khas bersasar RM300 kepada peneroka FELDA berpendapatan kurang RM1,000

Berita Perak

TANJUNG MALIM: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa mengumumkan pemberian bantuan khas bersasar sebanyak RM300 kepada peneroka FELDA yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.
 

Menurut Ahmad Zahid, bantuan kepada setiap peneroka di 317 Tanah Rancangan FELDA seluruh negara itu akan disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri.

Selain itu, katanya, peneroka berkenaan dan yang berpendapatan RM1,001 hingga RM2,000, akan mendapat penangguhan potongan hutang, tidak termasuk Kos Operasi Ladang, untuk hasil bulan Mac.

“Setiap peneroka yang berpendapatan RM1,000 ke bawah, akan mendapat bantuan khas bersasar sebanyak RM300.

“Bantuan ini disalurkan sebelum raya. Jika ada peneroka yang di bawah seribu ringgit tak dapat sebelum raya dan dia dapat selepas raya, beritahu saya, saya akan beritahu Pengerusi FELDA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Warga FELDA di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) FELDA Trolak, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Sharif.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut berkata Kementerian telah meluluskan projek membina jalan dari Felda Trolak Selatan ke Pekan Trolak, Muallim, pada tahun lepas dengan kos RM35 juta.
 

Menurutnya, projel di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) itu sedang dalam peringkat rekabentuk dan dijangka ditender pada Oktober 2024.

Skop projek itu adalah membina jalan sepanjang 2.3 kilometer dan bakal memberi manfaat kepada penduduk di Felda Trolak dengan menjimatkan masa perjalanan ke pekan Trolak dari 30 minit kepada 10 minit sahaja.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM 66, 050 kepada 307 orang anak yatim dan golongan asnaf dari sekitar Trolak termasuk pemberian duit raya kepada pelajar Maahad Tahfiz.