Kerajaan percepat pembinaan Lebuhraya WISE

Berita Perak

TAIPING: Kerajaan akan mempercepatkan pembinaan Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan antara Gopeng ke Kuala Kangsar di Perak sepanjang 60 kilometer.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, satu perjanjian konsesi akan ditandatangani pada pertengahan tahun ini sebagai usaha mempercepatkan pembinaan lebuhraya itu dalam usaha untuk mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi laluan di Terowong Menora.

“Saya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan kita akan pastikan pertengahan tahun ini untuk kita tandatangan serta tetapkan projek berjalan.

“Kalau saya kata tengah tahun kita tandatangan perjanjian sudah semestinya kita minta ia dipercepatkan dengan segala mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas hadir pada Majlis Pembukaan Seksyen 11, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas, di Plaza Tol Taiping Selatan, pada Isnin.

Hadir sama pada majlis berkenaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Hasnol Zam dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Nanta Linggi memberitahu, perjanjian konsesi itu yang melibatkan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) kini berada diperingkat awal draf perjanjian.

Sementara itu, Saarani dalam ucapannya berharap kerja-kerja pembinaan Lebuhraya WISE dimulakan dengan segera bagi mengelakkan kesesakan di Terowong Menora.

“Sebenarnya Perak sedang menunggu satu lagi lebuh raya baharu iaitu WISE yang menghubungkan Gopeng dan Kuala Kangsar untuk mengelakkan daripada mereka melalui Terowong Menora yang kerap berlaku kemalangan.

“Datuk Seri (Alexander) dan KSU membisikkan kepada saya jangan risau menjelang pertengahan tahun ini pihak terlibat akan menandatangani perjanjian konsesi untuk memulakan kerja-kerja pembangunan WISE,” ujarnya.

Pada Disember lalu, media melaporkan bahawa kabinet telah meluluskan projek pembinaan Lebuhraya WISE yang menghubungkan antara Gopeng dengan Kuala Kangsar.

Pembinaan WISE akan menjadi pelengkap kepada jajaran lebuh raya di Perak yang sering berdepan kesesakan teruk, terutama di laluan berhampiran Terowong Menora.