Keputusan ROS lulus pindaan Perlembagaan Bersatu tidak beri kesan pada enam Ahli Parlimen

Berita Perak

IPOH: Keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang meluluskan pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mungkin tidak memberi kesan kepada enam Ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana keputusan enam Ahli Parlimen itu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat sebelum pindaan itu diluluskan semalam.

“Saya tidak pasti sama ada pindaan itu memberi kesan ataupun tidak kepada enam orang terlibat sebab pindaan itu tidak ‘backdated’.

“Dia bukan dikuatkuasakan sebelum tetapi dia berkuat kuasa untuk sekarang dan akan datang.

“Dan saya tak pasti sama ada ia memberi kesan ataupun tidak,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Juadah Hari Raya kepada pasukan beruniform di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Saarani yakin Speaker Dewan Rakyat akan membuat keputusan sama ada mereka itu terkesan dengan Akta Anti Lompat Parti atau tidak.

“Jika sekiranya speaker membuat keputusan, mereka adalah terkesan kepada Akta Anti Lompat Parti, bermakna mereka gugurlah.

“Jadi kalau gugur, maknanya ada enam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang perlu dibuat termasuk dua di Perak (Kuala Kangsar dan Bukit Gantang),” ujarnya.

Saarani berkata, seperti biasa, setiap kali PRK diadakan, UMNO perlu bersiap sedia untuk memasuki gelanggang.

“Jadi kepada UMNO, kita bersedia untuk menghadapi PRK jika ada.

“Jika tidak, tak ada masalah kepada kita (kerana) kita membuat persiapan untuk PRU15,” katanya.

Terdahulu, Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ROS sudah meluluskan pindaan terbabit yang membolehkan parti itu mengambil langkah seterusnya untuk mengosongkam enam kerusi parlimen sekali gus diadakan PRK.