MANJUNG: Sebuah kedai emas di Ayer Tawar di sini diserbu oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana menggunakan cap dagangan yang dipakaikan dengan salah di bawah jenama emas tulen.
Operasi di bawah Ops Jenama itu dilakukan pada Rabu lalu oleh penguat kuasa KPDN Cawangan Manjung bersama-sama wakil cap dagang dengan nilai sitaan keseluruhan barangan kemas berjumlah RM8,908.
Menurut Pengarah KPDN Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, terdapat barang kemas yang menggunakan cap dagang emas tulen dan jenama terkenal dipamerkan untuk jualan di premis itu.
“Antara barang kemas yang disita adalah subang, cincin dan loket yang menggunakan cap dagangan yang dipakaikan dengan salah di bawah jenama emas tulen terkenal.
“Sehubungan itu, kes akan disiasat di bawah Akta Cap Dagang kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.
“Iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan barang-barang yang cap dagangan dipakaikan dengan salah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Beliau turut memberi amaran ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 100(4)(a)(i) / (ii) Akta Cap Dagangan 2019.
“Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi syarikat manakala perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya lagi.



