IPOH: Kampus cawangan baharu Politeknik Ungku Omar (PUO) di Bercham dekat sini, bakal menempatkan 1,200 orang pelajar menjelang Ogos tahun ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Zambry Abd Kadir berkata, ia sebagai tambahan kepada kampus di Jalan Raja Musa Mahadi yang menempatkan kira-kira 6,200 orang pelajar.
“Ia sekaligus menjadikan Politeknik Ungku Omar antara politeknik yang terbesar dalam negara kita yang dapat menampung sejumlah pelajar,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek menyiapkan baki kerja ubahsuai dan menyiapkan kampus cawangan Politeknik Ungku Omar di Bercham, hari ini.
Projek yang melibatkan kos berjumlah RM27.1 juta itu mula dibina pada tahun 2018 dan siap sepenuhnya pada 28 Disember 2024.
Kampus itu akan menempatkan pelajar bagi lima program iaitu Diploma Perakaunan, Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Kewangan, Diploma Kewangan Islam dan Diploma Pengurusan Peruncitan dengan kemasukan secara berfasa mulai Februari dan menerima kemasukan sepenuhnya pada bulan Ogos tahun ini.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan enam buah bilik Technology-enable Collaborative Classroom (TeCC) yang bakal dilengkapi dengan peralatan teknologi Virtual Reality (VR) disamping ruang-ruang kuliah yang diinspirasikan daripada ruang bank sebenar seperti ruang bank simulation, capaian wifi di keseluruhan kampus.
Ia juga melaksanakan elemen kampus hijau melalui penjimatan tenaga dan teknologi hijau dengan penggunaan lampu-lampu penjimatan tenaga, Rainwater Harvesting System dan lain-lain elemen SDG yang lebih inovatif.
Zambry berkata, dengan kewujudan kampus baharu itu diharapkan dapat menyokong aspirasi pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) seperti yang digariskan dalam Dasar TVET Negara 2030 dan menjadikan TVET Malaysia yang responsif, fleksibel dan inklusif.
Menurutnya, perkara itu turut digariskan di dalam Pelan Transformasi Politeknik 2023-2035 dan Rancangan Pemerkasaan Kolej Komuniti yang memberi fokus kepada pembangunan program TVET yang mampan.