Jelajah Semarak Ramadan: Zambry santuhi warga UPSI

Berita Perak

TANJUNG MALIM: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyantuhi warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sempena siri Jelajah Semarak Ramadan, malam tadi.

Beliau menyantuni lebih 700 penuntut sejurus selesai menunaikan solat tarawih dan moreh di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini.

Beliau yang meluangkan masa lebih dua jam bertemu warga UPSI turut menyerahkan juadah moreh kepada pelajar dan jemaah yang hadir.

Beliau turut mengambil peluang bertemu dan beramah mesra dengan jemaah yang hadir termasuk empat pelajar mobiliti antarabangsa dari Uzbekistan dan Hungary serta barisan atlet negara yang sedang menjalani latihan di Kampus Sultan Azlan Shah.

Majlis anjuran Pusat Islam itu turut dihadiri Presiden Geely Talent Development Group (GTDG), Prof. Dr. Lu Dan, merangkap Presiden University of Sanya dan Timbalan Presiden Geely Talent Development Group, Prof. Dr. Zoe Che yang juga merupakan Presiden Xinwei Edutech.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, majlis itu turut memberi kesempatan kepada warga UPSI untuk saling mengukuhkan silaturahim sempena bulan Ramadan selain bertemu kepimpinan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi.

Dalam majlis ini turut diadakan penyampaian sumbangan oleh Pusat Wakaf Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) kepada Kolej Aminuddin Baki UPSI, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Pusat Islam.

Selain itu, Zambry juga menyaksikan penyampaian Bantuan Duit Raya Tabung UPSI Prihatin (TUP) oleh Unit Kebajikan Bahagian Sumber Manusia UPSI kepada warga UPSI yang kurang bernasib baik.

Hadir sama Pro Canselor, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Puan Sri Rohani Parkash Abdullah; Pengarah Bahagian Hubungan Industri (BHI) KPT, Datuk Dr. Mohd Shahril Abdullah; Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (PBHEP) KPT, Hirman Awang @ Semai dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI Holding, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.