Januari tarikh dengar keterangan tambahan kes rayuan bekas ADUN Tronoh

Berita Perak

IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa menetapkan Januari 2025 untuk perbicaraan bagi menentusahkan dokumen baharu
berhubung bukti tambahan rayuan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong terhadap sabitan kes merogol pembantu rumahnya.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, tarikh-tarikh tentatif itu ialah 13, 14, 21 dan 22 Januari.

Menurutnya, perkara itu ditetapkan di kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh, Nur Laila Mohamed Nazil hari ini.

Katanya, selepas perbicaraan dengan saksi-saksi baharu itu, Mahkamah Tinggi kemudiannya akan membuat penilaian dan menyediakan kenyataan mengenai pandangan terhadap kes itu.

Laporan kenyataan serta pandangan itu kemudiannya dihantar kepada Mahkamah Persekutuan.

Peguam Salim Bashir pula berkata, dua saksi baharu akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan tersebut.

Menurutnya, dua saksi itu ialah peguam mangsa dan notari awam, kedua-duanya dari Jakarta, Indonesia.

Selain itu, pihaknya juga akan berusaha untuk memanggil semula mangsa, pembantu rumah warga Indonesia.

Mahkamah Persekutuan pada 12 November membenarkan permohonan Paul Yong untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan kes merogol pembantu rumahnya.

Panel tiga hakim diketuai Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal membenarkan lima dokumen diterima sebagai bukti tambahan, dengan menyifatkannya penting kerana ia kelihatan menunjukkan bahawa mangsa mungkin telah memberikan keterangan yang tidak benar semasa perbicaraan terhadap Paul Yong.

Hakim Harmindar, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Datuk Hanipah Farikullah, kemudian mengarahkan kes dihantar semula ke Mahkamah Tinggi dan menetapkan 26 Nov ini untuk pengurusan kes.

Beliau mengarahkan Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak untuk menerima semua bukti termasuk lima dokumen terbabit serta bukti tambahan yang berkaitan dengan dokumen itu, termasuk keterangan daripada mana-mana saksi.

Hakim Harmindar turut mengarahkan Mahkamah Tinggi supaya mengesahkan bukti tambahan itu dan menyediakan kenyataan mengenai pandangan terhadap kes itu, dengan mempertimbangkan bukti baharu yang dikemukakan.

Beliau berkata sekiranya saksi dipanggil, pihak-pihak yang terlibat akan dibenarkan untuk menyoal balas mereka sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah Tinggi.