IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memaklumkan bahawa sebahagian Jalan Bercham akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja naiktaraf sistem saliran bagi tujuan mitigasi banjir di Kawasan Industri Bercham di sini.
Menurut kenyataan MBI, pelaksanaan projek itu adalah susulan kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan berkenaan akibat sistem saliran sedia ada tidak lagi mampu menampung aliran air, khususnya ketika hujan lebat.
Katanya, penutupan sementara itu perlu bagi membolehkan kerja pemasangan longkang kelubung kekotak yang melintasi Jalan Bercham dilaksanakan.
“Di samping itu, ia juga mengambil kira risiko berkaitan banyak utiliti utiliti utama sedia iaitu GAS Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Air Perak (LAP), Telekom dan Maxis yang terdapat di kawasan pembinaan,” kata kenyataan itu, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, bagi memastikan aliran trafik terus terkawal dan keselamatan pengguna jalan raya terpelihara, lencongan trafik akan dilaksanakan secara berperingkat dan terancang.
Katanya, pengguna jalan raya yang menghala ke Pekan Bercham akan dilencongkan melalui Jalan Hala Industri Bercham 1, Hala Industri Bercham 2 dan Persiaran Bercham Utara 11.
Sementara itu, ujarnya, trafik yang menghala ke Tambun akan menggunakan jalan sementara yang dibina di kawasan tapak projek.
“Langkah ini diambil bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memastikan kelancaran pergerakan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja,” tambahnya.
Penutupan jalan itu dirancang untuk bermula pada 1 Mei 2026 dan akan mengambil masa sekitar 45 hari untuk disiapkan pada tarikh jangkaan sekitar 15 Jun 2026.
Sehubungan itu, MBI memohon kerjasama, perhatian dan kesabaran orang ramai sepanjang tempoh pelaksanaan projek ini.
Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi papan tanda sementara, arahan petugas di lokasi, serta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“Majlis Bandaraya Ipoh memohon maaf di atas segala kesulitan yang terpaksa di hadapi dan berharap masyarakat sekitar dan pengguna jalan raya memahami pelaksaan projke ini demi kemaslahatan awam,” katanya.
Pihak MBI, kata kenyataan itu lagi, juga komited untuk memastikan projek tersebut dapat disiapkan dengan selamat, berkesan dan mengikut jadual, khususnya dalam usaha menangani isu banjir kilat di sekitar Jalan Bercham dan kawasan sekitarnya.





