PASIR SALAK: Setelah berhempas pulas ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), akhirnya usaha mereka membuahkan hasil dan diraikan dalam satu majlis khas baru-baru ini.
Mereka merupakan 120 orang pelajar cemerlang SPM dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik yang memperoleh 5A hingga 10A menerima insentif wang tunai berjumlah RM200 hingga RM400 setiap seorang.
Penaung Skuad Prihatin, Mohd Nazari Sabran berkata, inisiatif program pelajar cemerlang itu digerakkan pihaknya bagi memberi motivasi kepada pelajar, selain membantu mereka merancang masa depan pendidikan.


“Jika ada kekangan, mereka boleh tampil dan kami akan cuba membantu sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui pada Kenduri Rakyat Aidilfitri DUN Sungai Manik 2026 di sini baru-baru ini.
Katanya, jumlah penerima meningkat pada tahun ini susulan penyertaan dibuka kepada anak-anak Sungai Manik yang menuntut di luar kawasan.
“Jika sebelum ini kita hanya fokus kepada empat sekolah, kini kita buka kepada semua anak Sungai Manik yang berjaya walaupun belajar di luar. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” katanya lagi.


Pogram Kenduri Rakyat tersebut berjaya menghimpunkan hampir 5,000 penduduk setempat.
Mohd Nazari yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak berkata, pelbagai pengisian lain turut diadakan termasuk penyampaian bantuan kepada 250 keluarga serta sumbangan kepada 26 bakal jemaah haji dari kawasan berkenaan.
Menurutnya, program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama beberapa NGO tempatan serta penglibatan aktif kumpulan Belia Prihatin.







