Isi minyak terlalu lama, pemandu, pembantu ditahan cuba seleweng diesel bersubsidi

Berita Perak

TANJUNG MALIM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita sebuah lori dan menahan pemandu serta pembantunya kerana disyaki cuba menyeleweng diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di sini, malam tadi.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi yang dilakukan kira-kira jam 7.30 malam itu adalah hasil maklumat awam dan risikan selama seminggu oleh pasukan perisikan KPDN Perak.

Menurutnya, melalui risikan dan pemantauan, didapati modus operandi sindiket itu adalah dengan cara membuat pengisian minyak diesel ke tangki asal lori, sebelum dipindahkan ke tangki empat segi melalui saluran paip pengepam yang diletakkan di atas lori tersebut.

“Pemeriksaan lanjut ke atas lori yang bertutup kain kanvas telah menemui sebanyak 10 buah tangki dengan anggaran sebanyak 3,500 liter cecair yang disyaki minyak diesel berada di atas lori tersebut.

“Dua orang lelaki tempatan berumur 26 dan 29 tahun yang disyaki pemandu dan pembantu pemandu telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kamalludin berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen lesen atau permit pengendalian barang kawalan berjadual minyak diesel.

Sehubungan itu, ujarnya, tindakan sitaan telah dilakukan ke atas lori tersebut bersama 10 buah tangki dengan anggaran 3,500 cecair yang disyaki minyak diesel dan peralatan lain, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM88,000.

Tambahnya, stesen minyak yang disyaki bersubahat juga akan disiasat dan diambil tindakan.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Beliau memberi amaran keras dan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti atau sindiket penyalahgunaan barang-barang kawalan seperti minyak diesel bersubsidi dan akan memastikan tindakan lebih tegas termasuklah pendakwaan di mahkamah.