Inovasi pendidikan awal kanak-kanak, TIC perkasa STEM

Berita Perak

IPOH: Taj International College (TIC) mengumumkan projek ‘SCI-FIC LAB’ bagi Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) 2024 untuk Kursus Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Pelancaran itu sekaligus menandakan langkah komitmen untuk memperkukuhkan pendidikan awal kanak-kanak melalui pendekatan yang lebih holistik dan berorientasikan sains dan teknologi.

Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson yang melancarkan projek itu berkata, jabatan menyambut baik segala usaha untuk mempertingkatkan pendidikan awal kanak-kanak.

“Usaha seumpama ini mampu melahirkan pelajar yang berinovasi dan ‘futuristic’ di masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran projek itu di sini, hari ini.

Pengerusi Eksekutif TIC, Tina Tajuddin pula berkata, beliau percaya bahawa pengalaman praktikal yang diperoleh melalui penggunaan teknologi canggih itu akan memperkaya pengajaran dan pembelajaran.

Di samping itu, katanya ia juga akan memperkukuhkan kebolehan pedagogi dalam menarik minat kanak-kanak terhadap STEM sejak dari peringkat awal.

“Saya berharap bahawa projek ini akan menjadi titik tolak baru dalam menyediakan sumber pengajaran berdasarkan pengalaman yang diperlukan bagi pendidik awal kanak-kanak untuk mempersiapkan generasi peneraju masa depan yang berdaya saing global,” katanya.

Menurutnya, TIC juga turut mengadakan Seminar STEM sempena National Training Week (NTW), iaitu Seminar Inovasi STEM untuk Pendidik Awal Kanak-Kanak dan Seminar The Future of STEM Young Educator.

“Dengan penekanan pada inovasi dan pembelajaran kolaboratif, seminar ini akan memberi impak positif kepada peserta dan komuniti pendidikan secara keseluruhan,” ujarnya.

Sejajar dengan hasrat itu, Tina berkata, TIC kini membuka pengambilan pelajar untuk Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, keunikan pendidikan awal kanak-kanak di TIC adalah dengan mempunyai taska dan tadika sendiri, iaitu Taska Ibu Tina serta Tadika International Kids Campus (IKS).

Menurutnya, ia tidak hanya menyediakan kemudahan kepada para pelajar untuk mendalami pendekatan STEM, tetapi juga memberikan mereka pengalaman secara langsung dalam pengurusan dan penyampaian pendidikan awal kanak-kanak yang holistik.

Tina berkata, dengan komitmen yang lebih mendalam untuk meneraju Gerak Generasi Baru, TIC kini memperkenalkan konsep ‘Learn and Earn’ bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan SPM untuk menjana pendapatan sambil belajar untuk tangani kos sara hidup dan beban kos pengajian tinggi.

Tambahnya, TIC akan melancarkan Gerak Generasi Baru (GGB) pada Jumaat ini.

Katanya, pada pelancaran itu juga, TIC akan menjalinkan Memorandum Persefahaman (MOU) bersama tujuh rakan strategik yang akan. memperkukuh lagi inisiatif bagi menggerakkan generasi baru.

“Taj International College berkomitmen untuk terus membangunkan pendekatan pendidikan yang progresif dan relevan, sejajar dengan aspirasi untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang berpengetahuan.

“TIC berharap dengan langkah ini, setiap anak didik di sini dapat menggabungkan pengetahuan teknikal dengan kreativiti serta kepekaan sosial, mempersiapkan mereka untuk cabaran masa depan,” ujarnya.