Imigresen Perak hantar 102 PATI ke negara asal

Berita Perak

IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menghantar pulang 102 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal mereka dari Depot Imigresen Langkap, hari ini.

Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, kesemua mereka adalah warganegara
Myanmar yang terdiri daripada 71 lelaki, 25 wanita dan enam kanak-kanak.

“Kesemua mereka berumur dalam lingkungan antara satu hingga 60 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, penghantaran itu dilakukan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, setelah selesai bayaran kompaun atau menjalani hukuman denda atau penjara yang diputuskan pihak Berkuasa Kehakiman (Mahkamah PATI) kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, kesemua mereka juga telah disenarai hitamkan bagi mencegah mereka dari memasuki semula ke negara ini.

Menurutnya, penghantaran pulang warga asing ke negara asal itu merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan penguatkuasaan membanteras PATl yang dijalankan JIM Perak bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen Langkap.