KAMPAR: Hujan lebat berterusan selama lebih dua jam pada petang semalam menyebabkan air sungai melimpah dan berlaku banjir kilat di Kampung Tanjung Tin, di sini.
Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kinta, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang pada Rabu.
Katanya, sebanyak tujuh buah rumah terjejas akibat banjir tersebut.
“Berlakunya hujan lebat berterusan selama lebih dua jam dan air sungai melimpah ke kawasan rumah berhampiran.
“APM Kinta telah sampai di lokasi banjir kilat untuk membuat pemantauan serta penilaian mengenai banjir kilat di kampung tersebut.
“Didapati pada pagi ini jam 8,15 pagi, air masih ada di sekitar luar rumah tetapi hasil penilaian dari Penghulu dan APM, air mulai surut,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Tambahnya, air mulai surut namun agak perlahan dan berlaku banjir termenung di kawasan kediaman.
“Didapati air hanya berada di luar kawasan kediaman (banjir termenung). Trend air mula surut namun agak perlahan (paras lutut),” katanya lagi.