TAPAH: Hasil daripada kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus akan dipulangkan kepada golongan yang memerlukan.
Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kenaikan itu yang diumumkan pada Belanjawan 2024, Oktober lalu sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan hasil kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, dalam melakukan setiap perubahan, kerajaan akan terus menjaga golongan yang perlu dijaga agar mereka tidak terkesan lebih teruk.
“Jadi kalau kita tengok pendekatan kerajaan ialah kita perlu meninggikan hasil. Itu adalah realiti yang ada sekarang ye kerana kekangan yang kita ada pada ‘fiscal position’ kita.
“Namun bila kita kena buat apa-apa perubahan, kita jaga mereka yang kita kena jaga, orang yang terkesan untuk mereka tidak dikenakan tekanan yang lebih.
“Inilah antara konsep-konsep madani yang ada dan yang lebih penting, bila kita dapat pulangan daripada kutipan daripada kenaikan SST, kita pulangkan juga kepada mereka yang lebih terkesan seperti yang kita buat hari ni, dalam program STR, dalam program SARA kerana kita nak menolong mereka agar jurang antara mereka yang ada dan yang tak ada boleh kita kurangkan dan tekanan yang ada dalam negara kita, kita kurangkan,” katanya.
Beliau ditemui selepas memantau pelaksanaan program rintis penunaian tersebut di Dewan Jelutong, Hutan Lipur Kuala Woh, di sini, hari ini yang melibatkan 409 penerima STR Orang Asli.
Menurutnya, kenaikan itu tidak melibatkan keperluan asas seperti makanan dan minuman di samping elektrik bawah 600 Kilowatt dan air.
Bermula 1 Mac lalu, kerajaan menaikkan kadar SST daripada enam kepada lapan peratus menerusi Peluasan Asas Fiskal di bawah Komitmen Reformasi Fiskal ketika pengumuman Belanjawan 2024 pada tahun lalu.