Harimau kumbang masuk perangkap Perhilitan

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: Misteri kematian anak lembu milik penternak di Felda Lasah di sini, terjawab apabila seekor harimau kumbang memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak pada malam Jumaat.

Pengarah Perhilitan negeri, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima aduan mengenai serangan haiwan liar itu pada pagi semalam.

Menurutnya, susulan itu pihaknya terus memasang perangkap pada petang hari yang sama di lokasi yang dilaporkan.

“Hasilnya seekor harimau kumbang betina dengan anggaran usia 4 hingga 5 tahun berjaya ditangkap.

“Harimau ini kemudiannya telah ditranslokasi ke kawasan lain,” katanya kepada media hari ini.

Sementara itu, pemilik ternakan, Aidil Hazwan Bokhari, 34, bersyukur kerana kerisauannya selama ini terjawab.

Menurutnya, memang serangan harimau sering berlaku di kawasan tersebut dan beberapa penternak lain pernah mengalaminya.

“Semalam saya perasan ada seekor anak lembu hilang dan tak lama lepas itu bangkainya saya jumpa dalam ladang kelapa sawit dalam keadaan tidak sempurna.

“Selepas buat laporan, Perhilitan terus pasang perangkap dan bangkai anak lembu itu dijadikan umpan. Hasilnya malam tadi harimau kumbang masuk perangkap,” ujarnya.

Aidil Hazwan berkata, ia bukan pertama kali berlaku kerana sejak keluarganya mengusahakan ternakan lembu lebih 20 tahun lalu, sudah beberapa kali ia menjadi mangsa haiwan liar.

Dia yang memelihara lebih 100 ekor lembu berkata, binatang buas itu memburu turut ternakannya yang diletakkan di dalam kawasan kandang.