Gerbang Malam Ipoh: Ikon cahaya dan harapan baharu

Berita Perak

IPOH: Jika singgah di Bandaraya Ipoh, tidak lengkap jika tidak berkunjung ke tempat yang cukup popular dan menarik iaitu Gerbang Malam.


Sebut sahaja Gerbang Malam, setiap rakyat Perak tahu kerana namanya cukup gah untuk menggambarkan Ipoh.

Gerbang Malam, ianya terletak betul-betul di Jalan Tahwil Azhar yang beroperasi setiap hari bermula seawal jam 8 malam dan berakhir pada sekitar jam 3 pagi.

Konsepnya adalah seperti uptown market yang popular di sesetengah tempat yang lain.

Terdapat pelbagai gerai yang menjual pakaian, kasut, bag, alat solek, alat mainan, barang perhiasan diri dan macam-macam lagi.

Lebih istimewa terdapat gerai yang menjalankan aktiviti urutan refleksologi dan urutan kaki, sesuai sangat bila dah lenguh berjalan menyelusuri deretan gerai, bolehlah singgah untuk meredakan lenguh kaki.

Sejak sekian lama, Gerbang Malam menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan pelancong luar, menawarkan pengalaman unik yang menggabungkan suasana meriah, keindahan visual serta kepelbagaian produk dan hiburan.

Namun, seiring dengan pertambahan pengunjung dan perubahan keperluan semasa, aspek keselesaan, keselamatan dan daya tarikan visual perlu dipertingkatkan agar kekal relevan sebagai destinasi pelancongan malam utama.

Sehubungan itu, satu permohonan peruntukan berjumlah RM3 juta telah dikemukakan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) melalui Kementerian Pelancongan, bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan dan penaiktarafan bumbung Gerbang Malam.

Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), skop kerja projek ini melibatkan penyambungan dan pengukuhan struktur bumbung sedia ada bagi mewujudkan liputan yang lebih menyeluruh, kukuh dan selamat.

Katanya, reka bentuk bumbung yang moden bukan sahaja berfungsi sebagai perlindungan daripada cuaca, malah direka untuk mengekalkan pengudaraan yang baik serta keselesaan pengunjung dan peniaga.

“Selain itu, projek ini turut merangkumi penaiktarafan sistem pencahayaan yang berkonsepkan estetik dan mesra pelancong.

“Pencahayaan yang dirancang secara strategik akan menonjolkan identiti Gerbang Malam sebagai ikon cahaya bandar, mewujudkan suasana malam yang lebih menarik, selamat dan kondusif untuk aktiviti ekonomi serta sosial,” kata kenyataan itu.

MBI menjangkakan dengan pelaksanaan bumbung dan pencahayaan yang bersepadu, Gerbang Malam akan tampil dengan wajah baharu yang lebih ikonik dan berdaya saing.

Menurutnya, inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman pelawat, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat, khususnya peniaga kecil dan usahawan tempatan.

Gerbang Malam kini melangkah ke fasa baharu bukan sekadar tempat persinggahan, tetapi sebuah destinasi yang mencerminkan aspirasi pembangunan pelancongan negara.

Di bawah cahaya malam yang menyinari struktur baharunya, Gerbang Malam terus menjadi lambang harapan, kemajuan dan denyut kehidupan bandar yang tidak pernah pudar.