Gaduh rebut kawasan dadah: Tiga lelaki ditahan, polis buru suspek masih bebas

Berita Perak

IPOH: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan menyebabkan cedera parah dekat Jalan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Tanjung Rambutan, di sini pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, tiga suspek masing-masing berusia 23 hingga 37 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin bagi permohonan reman.

Katanya, pihaknya menerima maklumat berhubung pergaduhan yang melibatkan tiga lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 30 tahun yang cedera parah pada jam 11.30 pagi.

“Kesemua mangsa telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, dan siasatan mendapati mangsa pertama hampir putus pergelangan tangan kiri.

“Mangsa kedua pula putus pergelangan tangan kiri dan mangsa ketiga putus urat di tapak tangan kiri.

“Rakaman percakapan semua mangsa diambil dan mendakwa mereka diserang suspek seramai 20 orang lelaki tempatan yang memakai topeng serta bersenjatakan kayu dan parang,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Beliau berkata, punca kejadian pergaduhan dipercayai akibat perebutan kawasan dadah.

Justeru katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan 148 Kanun Keseksaan.

Jelasnya lagi, polis masih giat mengesan suspek yang masih bebas.

“Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini supaya tampil memberi keterangan kepada pegawai penyiasat kes, Insp. Mohamad Syafiq Mohd Ghazali di talian 013-7962051.

“Atau tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya lagi.