ESCAPE Ipoh ikon pelancongan baharu Perak, sasar 200,000 pengunjung

Berita Perak

BATU GAJAH: Taman Inspirasi Alam Semulajadi ESCAPE Ipoh di sini, akan menjadi satu lagi ikon pelancongan baharu di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, ESCAPE Ipoh akan dibuka sepenuhnya pada April depan, sekali gus menjadi tarikan utama sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Terletak bersebelahan ikon Warisan Kapal Korek TT5 yang sinonim sebagai mercu tanda pelancongan di daerah Batu Gajah dan Perak, pembukaannya nanti dijangka menarik 200,000 pengunjung setahun.

“Secara tidak langsung merancakkan kegiatan ekonomi serta menjadi pemangkin kepada industri pelancongan negeri khususnya di sekitar Batu Gajah.

“Jika selama ini mukim Tanjung Tualang terkenal dengan hidangan udang galah, kedudukan strategik ESCAPE Ipoh ini terletak berhampiran Kellie’s Castle, Silverlakes Village Outlet, Galeri LAT, Gua Tempurung, Taman Alam Kinta, PATRO dan The Treasure Taman Herba @Gopeng.

“Ia boleh dianggap sebagai pelengkap kepada perancangan menjadikan Greater Ipoh (Batu Gajah-Ipoh-Kuala Kangsar) sebagai destinasi pilihan pelancong,” katanya ketika merasmikan ESCAPE Ipoh, pada Sabtu.

Tambahnya, ESCAPE Ipoh adalah sebahagian daripada usaha yang dilaksanakan untuk menjadikan pelan Perak Sejahtera 2030 sebagai realiti.

Jelasnya, nilai pelaburan dalam membangunkan ESCAPE Ipoh dianggarkan sebanyak RM30 juta dan dilaksanakan melalui usahasama syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) iaitu Menteri Besar Incorporated (Perak) sebagai penyedia tapak dan syarikat swasta, Sim Leisure Group (SLG).

“Kerajaan negeri melalui Tourism Perak telah melancarkan kempen Tahun Melawat Perak 2024 tahun ini.

“Alam semula jadi dan warisan sejarah merupakan kekuatan niche bagi sektor pelancongan Perak.

“Satu lagi produk menarik adalah geopelancongan setelah pemasyhuran Geopark Lembah Kinta sejak tahun 2018.Mempunyai 22 geotapak, lokasi Kapal Korek TT5 diangkat menjadi salah satu tapak warisan dalam geopark kebangsaan kedua Malaysia,” katanya lagi.