Enam samseng jalanan ditahan, 42 motosikal disita, 301 saman trafik dikeluarkan

Berita Perak

TELUK INTAN: Seramai enam lelaki ditahan, 42 buah motosikal disita serta 301 saman trafik dikeluarkan dalam operasi membanteras samseng jalanan di kilometer (km) 43 Teluk Intan-Sitiawan.

Operasi samseng jalanan dan ekzos bising itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Hilir Perak dengan kerjasama Jabatan Siasatan
dan Penguatkuasa Trafik serta Jabatan Alam
Sekitar (JAS) Perak.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, operasi dijalankan bermula 11 malam pada Sabtu dan berakhir pada 8.30 pagi Ahad.

“Sebanyak 150 buah motosikal, 21 kereta dan 211 orang berusia antara 13 dan 38 tahun diperiksa, yang terdiri daripada 204 lelaki dan tujuh wanita.

“Sebilangan daripadanya terdiri daripada lapan pelajar sekolah menengah dan 10 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Seramai enam lelaki warga tempatan berusia 18 dan 21 tahun ditangkap atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan di bawah Seksyen 42 (1)
Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Ahmad Adnan berkata, antara kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, ubah suai ekzos dan nombor plat.

Sementara itu, beliau berkata, di bawah kesalahan bunyi bising, JAS Perak mengeluarkan 15 keping kompaun.

Selain itu, turut dikeluarkan 15 keping notis hadir ujian di bawah Seksyen 48a Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya lagi, pihaknya akan terus menjalankan operasi tersebut dari semasa ke semasa bagi
memperkasa tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap samseng jalanan.

“Orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang maklumat berkaitan samseng jalanan, perlanggaran undang-undang dan lalu lintas boleh menghubungi pusat kawalan daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di talian 05-6222222,” katanya.