Empat samseng jalanan ditahan, 39 motosikal disita di Ipoh

Berita Perak

IPOH: Seramai empat lelaki ditahan dan 39 buah motosikal disita dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan yang diadakan di Jalan Kuala Kangsar-Ipoh, di sini pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam operasi itu juga, sebanyak 267 saman trafik, 104 saman dan notis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta 12 kompaun dan notis Jabatan Alam Sekitar (JAS) dikeluarkan.

Katanya, Polis Kontinjen Perak menjalankan operasi itu pada jam 12 tengah malam hingga 11.30 pagi bersama JPJ, JAS dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak.

“Sepanjang operasi dijalankan, 191 motosikal dan 199 orang berusia antara 15 hingga 32 tahun telah diperiksa.

“Sebahagian besar daripada mereka merupakan pelajar sekolah menengah, institusi awam dan swasta.

“Sebanyak 39 motosikal telah disita atas kesalahan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333).

“Selain itu, empat lelaki warga tempatan turut ditangkap atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Tambah Mohd Yusri, pihaknya dan AADK turut membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan kerana didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (rawatan dan pemulihan) 1983 (pindaan 1998),” katanya.