Dua pelancong asing terperangkap dalam gua diselamatkan

Berita Perak

IPOH: Dua pelancong asing yang terperangkap di dalam Gua Sam Poh Tong Temple, Simpang Pulai dekat sini, hari ini, berjaya diselamatkan.

Dua pelancong itu, masing-masing seorang lelaki warga China dan perempuan warga Korea, berusia dalam lingkungan 30-an, terperangkap kerana pintu utama gua telah ditutup

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada mangsa pada jam 2.26 petang.

Menurutnya, pihak bomba dimaklumkan kedua-dua mereka memasuki gua hari ini dan penjaga pintu menutup awal pada jam 2 petang, walaupun mengikut jadual ia dibuka sehingga jam 5 petang.

“Mangsa telah dijumpai di dalam gua berkenaan dan terperangkap kerana pintu utama di gua berkenaan ditutup,” katanya dalam kenyataan di sini.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Saiful Yazan Sharif
ditamatkan sepenuhnya pada jam 3 petang.