TAPAH: Dua orang cedera setelah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu jatuh ke dalam gaung di Batu 7, Jalan Pahang, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 21 tahun dan wanita 20 tahun telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba.
Katanya, kejadian berlaku sekitar jam 11.11 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah ke lokasi.
“Ketua operasi mengarahkan anggota membuat kerja-kerja pemantauan di sekitar kawasan kejadian.
“Setelah tiada risiko bahaya lain, jentera bersama-sama anggota bertolak balik ke balai,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Operasi membabitkan seramai 10 orang anggota itu tamat 11.41 pagi.

