DAP Perak kutuk pihak hantar nota ugutan ke rumah ibu Kor Ming

Berita Perak

IPOH: DAP Perak mengutuk keras tindakan pihak yang menghantar nota ugutan ke rumah ibu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming di Ayer Tawar, Manjung, hari ini.

Ahli Jawatankuasa DAP Perak dalam kenyataan berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu jelas melanggar undang-undang, selain ia bercanggah dengan nilai-nilai masyarakat yang beradab.

Sehubungan itu, mereka menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dan menangani kes-kes yang berbentuk ugutan tersebut.

“Pihak DAP yang menyanjung kedaulatan undang-undang berpandangan setiap individu mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menyuarakan pendapat masing-masing tanpa perlu bimbang akan diugut atau diserang secara fizikal.

“Oleh itu, dalam masyarakat yang demokratik dan berbilang kaum, adalah penting untuk kita menegaskan bahawa kepelbagaian harus dihormati dan suara yang berbeza harus diterima dengan penuh keterbukaan,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Menurut mereka, walaupun mungkin berbeza pendapat dalam dasar atau ideal politik, namun ia tidak sepatutnya membenarkan perbezaan itu melanggar batas-batas kesusilaan, selain boleh mengganggu-gugat anggota keluarga tersayang.

Selain itu, mereka juga memohon semua pihak untuk mengekalkan ketenangan dan bersikap rasional dalam menghadapi situasi ini.

Di samping itu, mereka turut menyatakan simpati dan solidariti terhadap ibu kepada Kor Ming pada waktu yang menguji ini.

“Bagi pihak kami, pada masa ini, adalah penting untuk semua pihak mengamal semangat perpaduan demi memelihara keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.

“Hanya melalui sikap hormat, ihsan, toleransi serta keyakinan antara satu sama lain, kita boleh membina sebuah masyarakat yang lebih sejahtera, mampan dan berdaya cipta,” kata mereka.

Terdahulu, polis menerima laporan rumah ibu kepada Kor Ming di Ayer Tawar, Manjung, menerima nota ugutan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai perkara itu daripada seorang pesara kira-kira kira-kira jam 10.15 pagi.

Menurutnya, wanita berusia 76 tahun itu menyatakan, semasa keluar dari rumahnya kira-kira jam 7.30 pagi, dia mendapati banyak kertas bertaburan dihadapan rumahnya dengan tulisan ‘Ngo Kor Ming (Jangan Cabar Islam).