D.S Jewellers, Perak Transit rai anak-anak yatim, kongsi rezeki sambut Syawal

Berita Perak

IPOH: Seramai 50 orang anak-anak yatim dari Pertubuhan Anak Yatim Maahad Dar’us Salam, Tambun, di sini diraikan dalam program berbuka puasa dan pemberian sumbangan raya.

Program tahunan berkenaan dianjurkan oleh D.S Jewellers dan Perak Transit Berhad.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Usahawan Kedai-kedai Emas Negeri Perak, Datuk Amaluddin Mohamed Ismail, program itu merupakan program saban tahun dalam memberikan keceriaan kepada penerima sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

“Tiap-tiap tahun memang kita adakan program ini, kita akan teruskan tradisi ini di tahun mendatang dengan menambah baik pengisiannya.

“Insya-Allah majlis berbuka puasa ini akan diteruskan di hotel, surau dengan gandingan dari D.S Jewellers dan Perak Transit Berhad.

“Walaupun sumbangan yang diberikan tidaklah seberapa, tetapi kita akan tetap teruskan, ada rezeki lebih kita buat lebih baik di masa depan,” katanya.

Turut sama dalam program tersebut, Pengarah Eksekutif Perak Transit Berhad, Datuk Cheong Peak Sooi.

Amaluddin menambah, sumbangan duit raya beserta hamper itu juga sedikit sebanyak dapat menggembirakan mereka untuk menyambut Syawal tidak lama lagi.

“Sumbangan ini akan kurangkan bebanan mereka untuk berbelanja pada hari raya, diharapkan ia dapat memberikan manfaat kepada penerima,” katanya lagi.