TAPAH: Bengkal yang diusahakan Siti Fatimah Osman di sini bukan sahaja berfungsi untuk memproses pelbagai jenis makanan termasuk kek, pes sambal serta rendang.
Tetapi ia juga berperanan untuk memberi ilmu pengetahuan kepada penduduk setempat serta orang ramai yang berminat untuk menceburi bidang tersebut.
Menurut Siti Fatimah, beliau menyasarkan untuk meluaskan pasaran produk syarikatnya iaitu Ctyza Enterprise sehingga ke luar negara.
Katanya, bengkel tersebut kini memproses beberapa jenis produk iaitu pastri, biskut, kek, pes makanan sedia dimakan iaitu pes ibu sambal, pes rendang ayam dan daging.
Selain itu, ia turut mengeluarkan sambal ikan talang, sambal balado darat dan sambal ikan bilis garing.
Beliau turut menyediakan kelas usahawan pembelajaran secara personal serta kelas menghias kek serta bahulu.
“Saya mahu menambah dan meningkatkan pendapatan setiap bulan di samping memberi ilmu kepada mereka yang berminat.
“Sasaran saya adalah untuk meningkatkan kumpulan ejen jualan di setiap tempat, selain memasarkan produk ini ke pasar raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika masjlis perasmian bengkel tersebut di Kampung Tersusun Muhibbah Batu 33, Jalan Temoh di sini.
Hadir merasmikan Pengarah Pertanian Negeri Perak Ts Norsiyenti Othman.
Turut sama, Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak, Mohamd Rozlan Mohamad Razalli, Ketua Balai Polis Temoh, SM Khadari Hasalodin dan Penolong Pegawai Daerah Batang Padang, Shahrizal Jamalullail Shahudin.
Dalam pada itu, beliau menambah, mereka yang menyertai bengkel usahawan itu juga dapat meningkatkan pendapatan keluarga, khususnya ibu tunggal serta suri rumah.
“Kita sasar peserta wanita berusia 18 tahun ke atas, yang meminati bidang perniagaan tetapi tak tahu cara bagaimana hendak mulakan.
“Selain itu, peniagaan pes sambal dan produk yang ada di sini boleh membuka peluang perniagaan kepada golongan lelaki dan wanita yang berminat,” katanya.