Cadang program perintis Orang Asli khusus dalam bidang pendidikan

Berita Perak

KAMPAR: Rangka kerja dan cadangan sedang diusahakan bagi mewujudkan program perintis membabitkan Orang Asli khusus dalam bidang pendidikan.

Menurut Ikon Wanita Perak, Tina Tajuddin, pasukannya kini giat mengembleng tenaga selain turun padang bagi mendekati golongan tersebut, selain mengangkat potensi yang ada pada mereka.

Katanya lagi, usaha itu tidak akan menjadi kenyataan jika tidak mendapat kerjasama dari pelbagai pihak.

“Skop saya sekarang adalah untuk kajian dan kenal pasti kumpulan yang terpinggir, salah satunya anak-anak Orang Asli.

“Apabila kita turun padang di sekolah, apa yang saya nampak mereka ada kurang dari segi kemahiran bersosial atau berinteraksi, mungkin malu atau sebagainya.

“Sayangnya, kalau tidak dibendung mereka akan ketinggalan. Jadi kita mahu atasi masalah itu untuk mereka lebih cemerlang dari semua sudut, sehingga selepas SPM,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat dan taklimat berhubung hala tuju selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sempena Jelajah Gerak Generasi Baru (GGB), di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar pada Rabu.

https://kelabwanitaikon.com/vote-awim2425/ Jangan lupa Undi Wanita IKON PERAK sebagai IKON Wanita Malaysia

Beliau juga selaku Pengerusi Eksekutif TIC turut memberi contoh SMK Kampar yang separuh daripada pelajarnya merupakan pelajar Orang Asli dari suku Semai.

“Niat saya adalah untuk usahakan Orang Asli sendiri yang mengajar Orang Asli, sebab mereka lebih tahu budaya dan adat masing-masing.

“Sebab itu kita kena majukan dahulu bakal bakal guru dalam kalangan Orang Asli, perhatian khusus perlu diberikan untuk topik itu.

“Mungkin kita boleh wujudkan beberapa kumpulan pertama perintis Orang Asli khusus dalam pendidikan di Taj International College (TIC), insya-Allah sekurang-kurangnya mereka akan berbakti kembali kepada masyarakat di kampung,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Tina tidak menafikan kejayaan golongan Orang Asli yang digapai oleh ramai individu sebelum ini.

Namun, katanya, masih banyak program kesedaran dan usaha perlu dilakukan untuk menyuntik semangat para pelajar Orang Asli.