Bot karam: TLDM selamatkan dua nelayan Indonesia

Berita Perak

LUMUT: Dua nelayan warga Indonesia berjaya diselamatkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) setelah bot mereka karam dan dihanyutkan ke Pulau Jarak dekat sini pada Ahad.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, mangsa berkenaan dikenali sebagai Adi Syahpotra, 41, dan Mohd Faoze, 46, kedua-duanya berasal dari Belawan.

“Misi penyelamatan bermula apabila pesawat Fennec TLDM yang sedang melakukan rutin tinjauan udara dan mengesan dua individu di kawasan berhampiran Stesen Jarak TLDM.

“Susulan itu, Fast Combat Boat (FCB) segera diatur gerak untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati kedua-duanya adalah mangsa bot karam, sebelum mereka dibawa pulang ke Tambatan Pangkalan Lumut dalam keadaan selamat.

“Setibanya di pangkalan, kedua-dua nelayan tersebut diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut mengikut prosedur dan perundangan antarabangsa,” katanya.

Ujar kenyataan itu lagi, TLDM kekal komited memberikan bantuan kemanusiaan tanpa mengira kewarganegaraan.