Bot bocor, tenggelam: Dua nelayan diselamatkan diserah kepada Indonesia

Berita Perak

LUMUT: Dua nelayan warga Indonesia yang diselamatkan setelah bot mereka bocor dan tenggelam di 53 batu nautika dari barat laut Pulau Perak baru-baru ini, diserahkan kepada wakil kedutaan negara itu pada Jumaat.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob, penyerahan M. Jabar, 38 dan Musliadi M. Aji, 44 yang berasal dari Kabupaten Acheh Timur, Indonesia dilakukan di hadapan wakil kedutaan negara itu, Yoshi Iskandar di Ibu Pejabat Maritim Perak.

“Maritim Perak telah menyerahkan dua nelayan Indonesia kepada wakil kedutaan negara itu selepas bot yang dinaiki mereka diselamatkan bot tunda Bomber 1601 pada 8 Mac lalu.

“Dalam kejadian 8 Mac lalu, Pusat Operasi Maritim Negeri Perak menerima panggilan daripada ejen bot tunda terbabit memaklumkan bot nelayan tersebut mengalami kebocoran lalu tenggelam.

“Dua nelayan itu kemudiannya diselamatkan serta diserahkan kepada Maritim Perak bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, urusan penghantaran pulang nelayan tersebut akan dilakukan oleh pihak Indonesia sendiri dan wakil kedutaan bersetuju menerima mangsa setelah selesai sesi pengesahan dan proses dokumentasi.

Mohamad Shukri berkata, penyerahan dua nelayan itu mencerminkan hubungan baik yang sedia terjalin di antara Malaysia dan Indonesia dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan kedua-dua negara terjamin.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 untuk tindakan segera.