Bom buatan sendiri ditemui di rak makanan kedai runcit 24 jam

Berita Perak

MANJUNG: Seorang lelaki ditahan susulan penemuan objek disyaki bom buatan di sebuah kedai barangan runcit 24 jam di Manjung Point, Sitiawan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung bom buatan itu sekitar jam 10.30 malam pada Isnin.

Katanya, kejadian disedari oleh pekerja premis yang melihat objek menyerupai bom buatan sendiri di atas rak makanan.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis bersama pasukan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung telah hadir ke lokasi kejadian dan mengesahkan objek tersebut tidak berfungsi kerana tiada bahan letupan serta litar yang tidak lengkap.

“Pihak polis turut menahan seorang lelaki di hadapan premis kerana disyaki terlibat dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, katanya kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, orang ramai diingatkan supaya tidak menyalahguna teknologi untuk membuat sebarang bentuk ancaman yang boleh mendatangkan kegusaran awam atau mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Pihak polis memandang serius serta akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sebarang bentuk ancaman keselamatan terutamanya melibatkan keselamatan orang awam,” katanya lagi.