TAPAH: Kerajaan negeri Perak memberi jaminan bekalan barangan asas seperti ayam, telor dan daging di negeri itu mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata bekalan keperluan itu pada masa ini adalah stabil.
Malah, katanya, sebagai pengeluar ayam terbesar di Malaysia, Perak juga mampu membekalkan produk ayam keseluruh negara.
“Bekalan daging, ayam dan lain-lain keperluan untuk Hari Raya Aidilfitri, insya Allah mencukupi, mencukupi untuk rakyat di negeri Perak ini.
“Saya berharap supaya rakyat tidak bimbang dengan bekalan daging, ayam, telor dan sebagainya untuk keperluan masyarakat Islam dan juga bukan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Jelajah Agro: Sektor Penternakan dan Amalan Pengurusan Kewangan Yang Baik 2025 di UiTM Kampus Tapah, pada Khamis.
Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi berkenaan juga menggalakkan penternak melipatgandakan usaha meningkatkan pengeluaran.
Dalam pada itu, beliau berkata, isu kekurangan kelapa serta santan yang berlaku sebelum ini sudah mula stabil.





